Oleh: Lukhman Abd. Taib
www.DaieSiber.blogspot.com
Sepasang kekasih tanpa ikatan sah erat berpegangan tangan berjalan di tebingan sungai. Menikmati pemandangan indah matahari terbenam di tebingan sungai, sambil membiarkan badan dipukul oleh angin sepoi-sepoi bahasa.
Setelah penat berjalan, mereka pun duduklah di gerai yang tersedia, berbual mesra saling tak tumpah seperti pasangan yang baru berkahwin (padahal mereka belum pun disatukan dalam ikatan yang halal). Bercanda, bergurau, bermanja. Sehinggakan minum pun satu gelas dua straw. Makan pula, saling menyuap.
Lebih mengejutkan dan menyedihkan, ibu bapa di rumah duduk tanpa sebarang rasa resah dan gelisah. Tidak kelihatan bimbang di wajah mereka apabila anak keluar berdua-duaan. Yalah, keluar di khalayak, apa nak dirisaukan? Namun, tanpa mereka ketahui, yang bersama anak mereka ialah syaitan yang akan merosakkan anak Adam.
Beginilah imej remaja berpacaran yang biasa kita temui di luar. Alangkah sedih dan pilu hati mengenangkan remaja yang telah diracuni pemikiran dan dikaburi pandangan mereka tentang cinta. Bagi mereka, cinta itu satu jalan ke arah perkahwinan.
Padahal, di dalam Islam, perkahwinan itu jalan ke arah cinta.
Islam Membimbing Fitrah
Insan mana yang tidak ingin mengasihi pasangannya dan dikasihi oleh pasangannya? Percayalah, tiada satu insan pun di dalam dunia ini yang bersifat sedemikian, melainkan mereka yang kecewa dengan ketentuan Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan …” (Surah Aal ‘Imran ayat 14)
Firman Allah SWT lagi: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Surah Ar-Rum ayat 21)
Namun, jika fitrah ini dibiarkan tanpa bimbingan, maka fitrah itu bertukar menjadi fitnah yang membunuh. Kata Sayyid Qutb:
“Dari sudut yang lain zina merupakan satu pembunuhan kepada masyarakat kerana kemudahan memuaskan nafsu syahwat melalui zina menjadikan kehidupan secara suami isteri merupakan perkara sekunder bukannya perkara yang perlu, dan menjadikan keluarga suatu tanggungjawab yang tidak mustahak, sedangkan keluarga merupakan tapak semaian yang baik bagi anak-anak yang kecil, di mana fitrah dan didikan mereka tidak akan sihat dan betul melainkan apabila mereka dibelakan di sana.” (Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Quran)
Atas dasar membimbing fitrah berkasih sayang, maka Rasulullah SAW telah menyediakan suatu resipi yang bukan sahaja memberi ketenangan dan kedamaian, malah mendatangkan keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT dalam melunasi fitrah tersebut.
Pada suatu ketika, Rasulullah SAW didatangi oleh seorang sahabat. Sahabat itu berkata kepada baginda: “Kami memiliki seorang gadis yang yatim. Dua orang pemuda dating melamarnya. Yang satu kaya, manakala yang satu lagi miskin. Kami menginginkan pemuda yang kaya, tetapi dia mahukan yang miskin.”
Jawab Rasulullah SAW: “Tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyintai kecuali menikah.” (Hadith direkodkan oleh As-Suyuti)
Sadd Az-Zarai’
Malangnya, adat kebiasaan masyarakat menjadikan jalan pernikahan itu suatu yang sukar digapai buat para remaja. Lebih memburukkan keadaan, musuh-musuh Islam mengambil kesempatan ini membawa remaja kepada suatu jalan yang zahirnya membawa kemudahan namun secara senyap membinasakan, iaitu bercinta sebelum berkahwin.
Aksi-aksi berpegangan tangan sambil keluar berdua-duaan dipertontonkan kepada golongan remaja. Jalan ceritanya pula menggambarkan keindahan dan kenikmatan perasaan cinta itu yang berakhir dengan perkahwinan beberapa tahun setelah menjalin perhubungan. Kerana langkah ini lebih realistik, maka tidak hairanlah kebanyakan remaja menjadi mangsa kekejian jalan yang ditempuh.
Alangkah indahnya Islam, memelihara nyawa dan keturunan manusia tanpa menghalang fitrah daripada dilunasi, dengan menyediakan sadd az-zarai’ (menutup jalan-jalan kejahatan). Sebab itu, berbeza dengan larangan-larangan yang lain, Allah SWT melarang manusia bukan setakat berzina, tetapi juga mendekati zina.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’ ayat 32)
Sayyid Qutb berkata:
“Al-Quran memberi amaran jangan mendekati perbuatan zina. Ini merupakan penekanan supaya menjauhi perbuatan itu, kerana perbuatan zina itu didorongkan oleh keinginan nafsu yang kuat, justeru itu menjauhi dari mendekati itu adalah lebih selamat. Perbuatan mendekati sebab-sebab yang membawa kepada zina itu tidak memberi jaminan yang selamat. Justeru itulah Islam menyekat jalan zina dengan menjauhi sebab-sebab yang mendorong ke arahnya untuk menjaga supaya seseorang itu tidak terjerumus ke dalamnya.” (Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Quran)
Berdalilkan firman ini, para ulama sepakat berpendapat bahawa apa-apa yang membawa kepada zina itu haram sepertimana haramnya zina. Tidak terkecuali, budaya couple yang kian menular dalam golongan remaja.
Allah memerintahkan kita supaya menjaga dan menundukkan pandangan, kerana matalah punca besar berlakunya perbuatan zina. Pepatah Melayu sering mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Demikian juga digambarkan di dalam syair Arab:
“Bermula dengan pandangan,
diikuti dengan senyuman,
kemudian disambut dengan salam,
membuat temu janji, dan akhirnya mengadakan pertemuan.”
Demikian juga, Islam menggariskan beberapa garis panduan dalam kita bermuamalah (berurusan) dengan mereka yang berlawanan jantina, seperti menutup aurat, menundukkan pandangan, menjauhi percakapan lagha, dan bersolek secara berlebih-lebihan. Semua ini bertujuan menutup jalan yang boleh membawa kepada zina.
Tiada Kenikmatan dalam Kemaksiatan
Dikisahkan, suatu ketika al-Imam as-Syafi’i (wafat 204 H) menghadapi masalah buruknya hafalan. Beliau pergi menemui gurunya Waki’ bin Jarrah (wafat 197 H) untuk meminta nasihatnya. Nasihat Waki’ telah terakam di dalam puisi al-Imam as-Syafi’i:
“Aku telah mengadu kepada Waki’ mengenai buruknya hafalanku
Dia membimbingku agar meninggalkan segala maksiat
Dia memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak memberi petunjuk kepada pelaku maksiat.” (Al-Alusi, Ruh Al-Ma’ani)
Apabila difikir kembali, barulah al-Imam as-Syafi’i mengetahui, hafalannya menjadi kurang baik setelah dia terlihat betis seorang wanita yang kainnya terangkat kerana angin yang bertiup.
Jelas sekali, tiada sebarang kenikmatan yang dikecapi kerana berbuat maksiat. Maksiat hanya menyebabkan hati senantiasa gundah gulana, hidup terasa kurang barakah, dan sukar untuk memahami pelajaran (sebagai seorang pelajar). Hafalan al-Imam as-Syafi’i menjadi buruk hanya kerana perbuatan yang tidak disengajakan, maka sudah pasti lebih buruk untuk kita yang sengaja melakukannya.
Mungkin ada yang tidak sanggup untuk meruntuhkan sebuah cinta ‘haram’ yang telah terjalin. Namun, adakah anda menginginkan cinta anda membawa kepada kecelakaan? Meninggalkan maksiat bukanlah semudah melakukan ketaatan, dan memerlukan kepada mujahadah.
Kata Al-Imam al-Ghazali (wafat 505 H):
“Meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan ketaatan kerana mengerjakan ketaatan senang dilakukan oleh setiap orang, tetapi meninggalkan syahwat (maksiat) hanya dapat dilakukan oleh para siddiqin (orang-orang yang benar).
Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan. Dan mujahid yang sebenarnya ialah orang yang memerangi hawa nafsunya.’” (Al-Ghazali, Bidayah al-Hidayah)
Wahai remaja, renungkanlah sabda Rasulullah SAW:
“"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu berpuasalah.” (Hadith direkodkan oleh al-Bukhari)
Sesungguhnya, dalam yang halal terdapat kenikmatan. Sebaliknya, dalam yang haram itu terdapat azab seksa.
FROM:http://www.murabbi.net/v1/articles.php?article_id=369
Comments
Post a Comment