link share dari sini :)
Antara kebesaran Allah SWT kepada saya adalah, Allah SWT memberikan peluang kepada saya untuk menjadi seorang penulis. Daripadanya, saya mendapat peluang berkomunikasi dengan pelbagai jenis manusia di dalam masyarakat. Meneruskan nota cinta saya, antara yang sering mengisi inbox saya adalah masalah remaja dalam percintaan mereka.
Antaranya masalah dalam menentukan apakah pilihan hati mereka tepat, antara lain adalah masalah mereka mencintai seseorang tetapi tidak tahu bagaimana hendak melamar dan sebagainya.
Saya sebenarnya kehairanan. Mengapa soalan itu perlu sampai kepada saya?
Sebab saya kira, mereka ada orang yang lebih layak membantu mereka di dalam hal tersebut berbanding saya. Siapa? Itulah dia ibu bapa mereka, Ustaz Ustazah mereka, pakcik makcik mereka, dan veteran-veteran yang wujud di sekeliling mereka.
Tetapi bila ditanya: “Bincang tak dengan ibu bapa?”
Ramai akan menjawab: “Seganlah.”, “Nanti Ummi Abah tak suka.” Dan sebagainya.
Ada juga yang menjawab: “Dah, tetapi Ibu Ayah belum apa-apa lagi sudah kata tak boleh.” , “Sudah, duit pun tak ada masalah sebenarnya. Tapi Mama Papa saya tetap tak mahu dengar apa-apa. Mereka mahu ikut pandangan mereka sahaja.”
Ketika itulah saya berfikir untuk menulis nota ini.
Untuk remaja. Untuk Veteran.
Untuk Cinta.
Untuk kita muhasabah bersama sebenarnya.
Remaja.
Sebenarnya, adalah penting untuk kita melibatkan veteran di dalam urusan percintaan kita. Dan percayalah, orang yang libatkan veteran dalam percintaannya adalah orang yang serius dalam bercinta. Kita telah melalui beberapa nota cinta sebelum ini. Dan saya telah menyatakan beberapa langkah yang sepatutnya kita lakukan, sekiranya kita benar-benar mencintai seseorang. Antaranya adalah, menghantar wakil(bagi perempuan) atau menyatakan kepada wakil(bagi lelaki) untuk menyatakan hasrat kita.
Tetapi persoalan timbul apabila hendak mengaplikasikan keseriusan dalam percintaan ini(yakni menghala ke arah perkahwinan. Sebab pada saya, itu tanda seseorang serius cintakan kita). Soalan-soalan remaja seperti – Saya dah bersedia ke? - , - Duit tak ada. Macam mana ya? - , - muda sangat. Tapi dah suka. Macam mana? - , - macam mana kalau pilihan saya ini tidak tepat? – dan 1001 lagi keraguan, semuanya mengaburi remaja untuk melakukan tindakan yang betul.
Pada pandangan saya, semua persoalan itu boleh kita selesaikan dengan baik, mencapai satu solusi yang baik, sekiranya kita bawa keluarga dalam perbincangan kita. Kita bawa orang tua, masuk dalam perbincangan kita. Bukan menghadapinya sendiri, semata-mata dengan akal remaja kita.
“Ish, libatkan ibu bapa? Besar tu.”
Ya. Cinta memang benda besar. Bukan benda main-main.
“Rilek-rilek la bro.”
Ha. Rilek? Anda serius ke tak? ^^
Nampak? Sebab itu saya sentiasa kata, yang serius bercinta ni, hanya yang segera menggerakkan hubungan ke arah perkahwinan. Bukannya membazir masa dengan couple, dengan sekadar layangan kata cinta dan hadiah.
Balik kepada tajuk, maka kita libatkan veteran. Bincang dengan mereka masalah-masalah kita. Dan hakikatnya, adalah paling baik, saya ulang, paling baik, sebaik sahaja kita jatuh cinta dengan sesiapa, kita terus beritahu keluarga kita.
Bukan beritahu untuk merisik atau apa. Janganlah gelabah sangat. ^^
Bagitahu sekadar untuk ada kata nasihat, yang memandu kita dalam menangani perasaan itu. Agar tidak tersasar. Agar tidak lemas. Agar tidak terbakar di dalam ruang cinta. Tanya mereka, sesuai ke tak perempuan/lelaki yang kita cintai itu. Tanya mereka, apa pandangan mereka dengan usia kita, apakah ok? Kalau ok, apa langkah seterusnya? Kalau tak ok, apa yang perlu dilakukan? Dan sebagainya. Bincang. Sembang-sembang.
Saya, saya buat benda itu. Bila saya jatuh cinta, pertamanya saya pastikan apakah benar itu ‘cinta’. Atau itu mainan nafsu sahaja? Lebih tiga bulan saya cakap pada diri saya, kalau benar cinta, kena serius. Kalau sekadar suka-suka, baik tinggalkan sahaja. Bila saya rasa benar-benar mencintainya hingga ke tahap mahu perempuan yang saya cinta itu menjadi isteri saya, maka saya tidak toleh kiri kanan lagi, dan memulakan langkahan.
Pertamanya, saya beritahu Ummi Abah saya. Saya jatuh cinta dengan perempuan ini. Saya tunjukkan gambarnya. Saya ceritakan latar belakang keluarganya, umurnya, dan saya katakan juga sejauh mana saya kenal dia(yang pada masa itu sebenarnya saya tak kenal apa-apa, melainkan muka dan namanya sahaja. Haha. So cakap kat Ummi Abah masa itu: Tak kenal pun. Tapi Hilal suka. Nak kahwin dengan dia. ^^)
Ummi Abah suruh fikir. So, saya fikir lagi. Saya masih ingat lagi Abah kata masa itu: “Dia suka awak tak?” Haha. Saya kata: “Hilal pun entah dia tahu wujud ke tak. Haha.” Abah kata: “Muda lagi ni. Sabar dulu sikit. Check apa yang patut.”
Nah. Mudahkan? Sudah dapat guide. Check apa yang patut. Maka saya teruskan kembara saya.
Masuk langkah kedua, yakni saya bertanyakan pendapat guru-guru saya. Pertama berkenaan persiapan diri. Keduanya berkenaan perempuan yang saya sukai(memandangkan kami sekolah sama, jadi saya buat background checking dengan tanya guru-guru). Di situ, saya dapat beberapa nasihat lagi. Antaranya kepentingan saya mempunyai kematangan, mempunyai kekuatan untuk menyara hidup dan sebagainya. Nah, dapat lagi guide.
Langkah ketiga, saya bertanya sendiri kepada abang perempuan yang saya cintai. Kebetulan kami sahabat. Jadi, tanya pendapat dia. Pendapat berkenaan saya menjadi ahli keluarganya, berkenaan sesuai ke adik dia dengan saya dan sebagainya. Di situ dapat lagi beberapa nasihat. Tiada harapan diberikan, tetapi di situlah saya belajar bahawa – aku ada kemungkinan ditolak ni – haha.
Itu antaranya. Kemudian saya lebih kepada banyak berbincang dengan Ummi Abah saya. Saya siap buat kertas kerja. Menyatakan pada umur sekian, saya akan usaha capai sekian. Pada umur sekian, saya akan usaha jadi sekian. Pada umur sekian, nak masuk merisik dan sebagainya. Minta persetujuan mereka. Tanya apakah mereka restu dan sebagainya. Di situlah ada lagi beberapa nasihat, pandangan dan sebagainya.
Antara yang saya ingat, Ummi saya selalu gertak: “Nak kahwin, kena ada at least RM20,000.” Haha. ^^
Tapi itu buat saya semangat kumpul duit, cari duit. Berdikari. Usaha itu ini.
Dan saya tetap tidak lupa untuk sering meluangkan masa dengan pasangan-pasangan suami isteri yang saya kenali, minta nasihat mereka, pandangan mereka dan sebagainya.
Ya. Itu yang saya lakukan. Hingga kini pun, selepas saya berjaya bertunang dengan perempuan yang saya cintai itu, saya masih banyak berbincang dengan orang tua. Kini ditambah pula bakal mertua saya. Jangan kata saya tak dilanda angin kemaruk cinta. Dilanda juga. Angau juga. Tetapi itulah indahnya bila libatkan orang tua, saya bila dilanda semua itu, saya luahkan kepada bakal mertua saya(yang saya sudah panggil Ibu dan Ayah).
“Ibu, rindula dengan Ibu dan Anak Ibu.” ^^
Dan nanti datang la nasihat-nasihat yang bermakna buat saya daripada bakal mertua saya itu.
Ada masa, saya bergurau dengan Ummi saya. “Ingat kalau kahwin, kita serve Biskut Merry je la Ummi. Dengan air teh. Low budget. So, kita boleh jemput ramai lagi orang.” Dan saya akan dinasihati Ummi saya akan kepentingan majlis perkahwinan, keteraturannya dan sebagainya. ^^
Saya juga menyatakan setiap sen perbelanjaan saya kepada Ummi Abah dan Ibu Ayah. Saya buat list kira-kira, setiap duit yang saya ada, dan bagaimana saya nak belanjakannya. Itu semua agar mereka boleh berikan pandangan mereka.
Begitulah saya. Saya sentiasa libatkan orang yang lebih tua di dalam hal percintaan saya. Supaya saya terjaga. Supaya saya kekal serius. Supaya saya tidak melencong. Supaya saya tidak sesat. Bukanlah saya ikut 100% semuanya yang veteran hamburkan kepada saya. Saya pun ada sahaja baca buku, belajar, tambah ilmu sendiri dari sumber yang lain, maka pastinya saya juga ada prinsip dan pegangan saya. Tetapi sekurang-kurangnya, bila veteran beri nasihat, saya dapat tambahan petunjuk. Option. Untuk saya pilih dan guna bila masanya sesuai.
Nah.
Tetapi kebanyakan remaja hari ini tidak mahu melibatkan orang tua. Ramai yang memberikan alasan bahawa veteran tidak mahu mendengar. Ramai yang memberikan alasan bahawa veteran akan kata umur mereka terlalu muda dan sebagainya.
Memang benar. Ada sahaja veteran yang tak reasonable. Tetapi saya rasa, sebab utama kita tidak mahu libatkan orang tua dalam percintaan kita adalah, kerana kita tidak serius dalam bercinta. Kita sekadar suka-suka sahaja. Sebab itu, melibatkan veteran di dalam percintaan kita kelihatan seperti ‘satu komitmen’. Kita tak nak komitmen. Kita hanya nak seronok-seronok sahaja. Sebab itu kita tak nak orang tua terlibat. Dan kita hamburkan pelbagai alasan, sebagai penyedap untuk menghalalkan tindakan kita tadi.
Tetapi tidak dinafikan, ada sahaja yang tidak libatkan orang tua kerana segan, takut, malu.
So, saya nak kata di sini, tidak perlu segan, takut, malu. Tidak perlu.
Terutama Ibu Bapa sendiri. Nah remaja. Kalau serius nak bercinta, buat apa segan, takut, malu dengan veteran. Pergi minta nasihat mereka. Agar kita tidak tersasar dengan ‘kehijauan’ kita dalam menghadapi dunia. ^^
Kalau orang tua tidak suka dengan orang yang kita cinta, tanyalah kenapa. Bincang. Mudah kan? Tak adalah kita dah bercinta sakan, kemudian baru bagitahu ibu bapa, tup-tup mereka tak berkenan, haa... susah dah. ^^
Baik. Itu untuk remaja. Maka, lapang-lapangkan jiwa, libatkan veteran di dalam cinta!
^^
Veteran
Veteran. Segan sikit nak tulis untuk veteran. Yalah, Hilal adalah seorang remaja, pemuda. Veteran selalu claim, veteran lebih makan garam. ^^
Tetapi Hilal yakin, disebabkan veteran lebih makan garam, veteran akan lebih rasional dalam menilai nota do’if ini. ^^
Oh ya, Hilal memang biasa menggunakan ganti nama ‘Hilal’ dari menggunakan ‘saya’, apabila berbicara dengan orang tua. Itu sebagai tanda hormat. Maka Hilal mulakan ya? InsyaAllah tidak panjang untuk veteran ini. ^^
Pada Hilal, veteran sepatutnya menjadi contoh, sepatutnya menjadi pembimbing di dalam percintaan. Memahami bahawa pada veteran-veteran wujud pelbagai harapan kepada remaja, tidak mahu remaja membazirkan masa dengan cinta yang sia-sia, tidak mahu membiarkan remaja lalai dan alpa, terpesong dan jatuh ke lembah yang hina, Hilal amat memahami mengapa kadangkala ada veteran yang agak ‘keras’ di dalam hal ini.
Ada juga Hilal lihat, segelintir daripada veteran-veteran teramat keras dalam menentukan jodoh anak-anak. Mahu tidak mahu, anak itu mesti perlu tunduk pada pilihan veteran.
Pada Hilal, Ibu-ibu, ayah-ayah, pakcik-pakcik, makcik-makcik, veteran yang Hilal kasihi, tidak sepatutnya veteran bersikap sedemikian. Hal ini kerana, itu sekadar melempar remaja ke lembah tekanan. Akhirnya, remaja akan berusaha melawan tekanan itu dengan pemberontakan. Tidak sihat untuk remaja itu sendiri, juga tidak sihat untuk hubungan kekeluargaan.
Veteran yang Hilal kasihi. Hilal yakin, veteran tidak lupa, bahawa veteran juga adalah manusia. Belum tentu lagi, segala keputusan veteran betul. Tepat. Lebih makan garam belum tentu menjadikan kita betul sentiasa. Ya, tidak dinafikan juga, remaja seperti Hilal ini juga manusia. Semestinya ada kekurangan. Sebab itu nota ini bukan untuk memenangkan remaja. Tetapi mengajak remaja dan veteran berkolaborasi.
Berbanding sekadar menyatakan – tidak boleh -, - kena ikut cakap Mama dengan Papa jugak – dan sebagainya, Hilal mencadangkan agar veteran menjadi ‘mesra remaja’. Maksudnya, membuka kepada perbincangan. Menjadi yang mendengar dan membimbing. Sebagaimana seorang guru kaunseling, yang mendengar luahan masalah pelajarnya, dan membimbing.
Bukankah itu lebih baik?
Anak-anak akan menjadi tidak takut untuk berkongsi, dan Hilal rasa, di situ ada peluang yang cantik untuk para veteran membimbing, mengadun anak-anak untuk melakukan sesuatu yang tepat.
Janganlah sampai sikap veteran, menimbulkan rasa kurang enak pada diri anak-anak untuk menjadikan veteran tempat rujukan mereka. Janganlah dihamburkan kata-kata yang keras seperti “Cinta ini semua melalaikan!”, “Ini semua merosakkan pelajaran.”, “Kau nak bagi anak orang makan apa? Pasir?” dan sebagainya.
Itu semua hanya akan membuatkan remaja menjadi lebih liar. Suka buat keputusan sendiri dan sebagainya. Rebel orang inggeris kata. ^^
Dan janganlah sesekali veteran menilai dari sekadar umur. Merendah-rendahkan umur remaja yang ingin berkahwin. “Umur pun tak sampai 20, nak bercinta.” , “Awak tu muda lagi, boleh ke nak sara anak isteri?” dan 1001 lagi ayat yang mengguris hati.
Ada sahaja remaja yang kuat berusaha, matang, dan memang layak berkahwin. Mengapa tidak didengari perancangannya, dibantu usahanya? Mengapa mesti dihamburkan dengan kata-kata yang mengguris jiwa? Mengapa mesti tidak dipedulikan?
Ada pula veteran, yang sengaja menangguh-nangguhkan perkahwinan. Anak sudah ada duit, sudah ada pendidikan, tetapi sengaja ditangguhkan. Dan kuasa veto Ibu Bapa akan dikibarkan.
Hilal tidak nampak pun keperluan itu semua.
Hilal kira, kalau para veteran boleh menjadi satu susuk pembimbing di dalam hal ini, pasti gfejala couple, gejala anak luar nikah, gejala zina di kalangan remaja, akan berkurangan. Kerana mereka punya pembimbing. Mereka punya tempat rujukan.
Bukankah indah? Bukankah kebaikan yang veteran mahukan? Hilal yakin akan itu.
Hilal amat yakin, kalau wujud kolaborasi ini, pastinya banyak kebaikan yang akan terjadi.
^^
Penutup: Remaja, Veteran, saling memerlukan.
Seorang tokoh bernama Umar Tilmisani pernah berkata:
“Hikmah orang tua, perlu wujud dalam semangat membara orang muda.”
Itu petanda pentingnya orang muda, remaja, untuk sentiasa mengutip hikmah dan pendapat daripada orang yang lebih tua. Agar kesilapan veteran tidak remaja ulangi, agar kejayaan veteran dapat remaja sambungi dan tingkatkan.
Tetapi pada masa yang sama, veteran juga perlu bijak menjadi pembimbing. Pada Hilal, tidak wujud kuasa veto veteran. Tidak wujud. Bagaimana boleh ada satu ‘veto’ pada yang tidak sempurna. Maaf sekali lagi Hilal sebut, veteran juga perlu sedar bahawa veteran adalah manusia. Umur bukan pengukur hakikatnya. Maka jangan sesekali, pada Hilal, veteran keluarkan kata-kata seperti:
“Ikut cakap aku, sebab aku orang tua!”
Itulah dia veteran yang tidak reasonable pada Hilal. Apa salahnya buka pada perbincangan? Apa salahnya mendengar anak-anak menyatakan mereka cintakan siapa walau berapa pun umur mereka? Veteran dengar, dan kemudian bimbing. Itu lebih cantik dan lebih bersih, pada Hilal.
Pada saya, inilah dia kolaborasi yang telah hilang dalam kebanyakan masyarakat kita.
Semua terdidik dengan Hollywood. You you, me me.
Jangan. Islam tidak mendidik sedemikian.
Mari sama-sama. Remaja, veteran, kita muhasabah akan perkara ini.
Bukan untuk sesiapa. Untuk kita juga. Keluarga remaja, adalah sebahagian daripada keluarga veteran juga bukan? ^^
Semoga Allah redha dengan Cinta kita, yang bersih, yang mulia.
Amiin. ^^
~ Seorang hamba,
Hilal Asyraf
http://langitilahi.com
http://www.facebook.com/pages/Hilal-AsyrafOfficial/245964752094643
Comments
Post a Comment